Thursday, June 30, 2011

Penggunaan Ubat-ubatan dari Sumber Haram

Salam,


Mengenai perubatan yang ditawarkan dan rata-rata pakar perubatan yang mengesyorkan perubatan ini adalah bukan Islam yang kadang-kadang memaksa pesakit menerima rawatan yang tak halal.


1. Contohnya ubat tersebut mengandungi enzim babi, dan dikatakan ubat itu boleh dikumuhkan, adakah ia halal untuk pesakit tersebut?


2. walaupun ada alternatif lain, adakah dibolehkan kita memilih yang mengandungi haiwan haram?


ada yang memberi jawapan harus la, pilihan individu dan ada yang berkata ia automatik halal kalau pesakit tiada harapan.harap pihak tuan dapat memberi jawapan yang meyakinkan umat Islam. terima kasih didahulukan.-FMH

******


Wsalam wbt, saudari


Terima kasih kerana bertanya dan semoga berada dalam nikmat islam dan sentiasa dirahmati Allah.


Tidak dinafikan bahawa memang banyak ubat-ubatan yang pada asalnya diperbuat daripada bahan berasaskan khinzir seperti heparin (mencairkan darah), surfactant (ubat yang diberi kepada bayi pra matang utk membantu fungsi paru-paru), insulin (untuk pesakit kencing manis), vaksin MMR (mencegah measles, mumps dan rubella) dan banyak lagi.


Ulamak secara umumnya bersepakat dalam membolehkan penggunaan ubat berasaskan bahan yang haram ini apabila timbul keadaan darurat. mengikut usul fiqh, keadaan darurat mengharuskan apa-apa yang haram.


Walaubagaimanapun, ulamak berbeza pendapat dalam soal di mana adakah boleh ubat-ubatan ini boleh digunakan dalam keadaan yang tidak darurat atau mempunyai alternatif lain.


Majoriti ulamak berpendapat tidak boleh digunakan ubat tersebut andai tidak darurat dan mempunyai alternatif lain. contohnya kini insulin, heparin dan surfactant ada yang dibuat daripada enzim lembu.


Untuk insulin dan heparin, setahu saya kebanyakan hospital sudah pun menggunakan ubatan yang berasaskan gelatin lembu ataupun sinthetik.oleh itu, tidak timbul soal berhubung halal atau haramnya ubat tersebut.


Masalah utama ubat-ubatan ini adalah dari segi kosnya. contohnya surfactant yang berasaskan lembu berharga sehingga RM1000 dan drpd khinzir berharga RM300. ubat ini sangat-sangat diperlukan utk bayi pramatang. Oleh itu, ia juga turut termasuk dalam kategori darurat kerana kosnya yang tinggi dan ubat tersebut sangat diperlukan.


Masalah kedua adalah dimana kurangnya kajian klinikal mengenai keberkesanan ubat-ubatan tersebut. contohnya ubat fondaparinoux merupakan alternatif untuk clexane bagi mencairkan darah. akan tetapi, kajian klinikal secara meluas masih belum ada untuk membuktikan bahawa ubat ini benar-benar berkesan.


Selain daripada itu, ada juga ulamak minoriti yang mengharuskannya di atas beberapa faktor


1) Bahan dari khinzir itu telah berubah zatnya sewaktu proses mengadakan ubatnya. hujahnya adalah arak yang haram akan menjadi halal apabila bertukar menjadi cuka

2) ada ulamak minoriti yang berpendapat bahawa yang diharamkan penggunaan dari khinzir adalah dagingnya. dan tulang atau lemak tidak termasuk dalam kategori haram.


Dalam isu ini, saya berpendapat bahawa adalah lebih afdhal untuk menggunakan ubat-ubatan yang disahkan status kehalalannya untuk penyakit yang tidak dikategorikan sebagai darurat dan haram hukumnya menggunakan ubat yang bersumberkan bahan yang haram. Mencari yang halal itu hukumnya fardhu keatas setiap orang muslim. Untuk keadaan darurat pula, diharuskan menggunakan ubat yang mempunyai bahan yang haram tadi.


Namun demikian, untuk sesetengah ubat seperti fondaparinoux yang saya nyatakan di atas, saya memilih jalan untuk tetap menggunakan ubat clexane kerana kurangnya kajian klinikal. Walaubagaimanapun, pesakit berhak diberitahu akan hal ini dan mereka patut diberi pilihan samada untuk menggunakan clexane ataupun fondaparinoux.(**Muzakarah Fatwa Kebangsaan walaubagaimanapun mengharamkan penggunaan clexane dengan adanya alternatif iaitu fondaparinoux @ arixtra)


Diharapkan ia sedikit sebanyak dapat membantu saudari.


Oleh

Dr Muhamad Na’im B. Ab Razak (MD USM)

www.jacknaim.blogspot.com


Ditanya melalui inbox ILuvIslam.Com. sekiranya terdapat pertanyaan bolehlah dihantar ke alamat ini [link]


No comments:

Post a Comment