Thursday, June 30, 2011

Bercinta Di Usia Muda


asslamualaikum dktor.. saya hanya mahu dikenali sebagai XX. saya berumur 15 tahun dan bakal menduduki perperiksaan PMR pada tahun ini.. ya dktor.. saya ada 2 soalan untuk dikemukakan...


1 . saya mempunyai seorang teman istimewa.. ustazah saya ada memberitahu kepada saya dan rakan2 kelas... nak berkasih boleh tapi jauhi maksiat... dan utamakan pelajaran.. tapi saya baca artikel di dlm iluvislam.com dan di mana2 shj.. ada yg mngatakan berkasih sblum mnikah adalah haram... namun ada juga saya terbaca di dalm laman web yg mngatakan hubungan sebelum menikah itu boleh asalkan menjauhi maksiat... alhamdulilah... spanjang prhbugn yg kami bina selama 9 bulan.. pelajaran kami bertambah baik... kdua2 keluarga sudah mngetahui hbugn kami.. pada mulanya keluarganya tidak mengalakkan kerana die bakal mnduduki spm thun ini.. namun bila mlihat plajarannya yg bertmbh baik.. kluarganya mula baik,... benarkah dktor... seseorang itu perlukan seseorng utuk berubah? sy khuatir dan takut.. kerana sya adlah cinta pertamanya... sy takut saya akan membawa dia ke arah yg tidak baik.. kerana kluarganya mrupakan sbuah keluarga yg cukup alim dan sederhana... sy khuatir jika mmutuskan perhubungan plajarannya smkin merosot... tapi benar dktor, dgn jujur dan ikhlas sy mengatakan bhwa spanjang kami berkasih,.. kami tidak pernah berjumpa berdua... wlaupun kami satu sekolah.. kerana kami berdua bgitu mnjga maruah kami... pada harijadi sy tahun ini, die menghadiahi sy sebuah al quran... stiap mlm sy membacanya,, bagaimana dktor? bukankah ada sstgh pandangan mngatakan bila kita jumpa pasangan yang baik.. kejarlah ia smpai dapat... salahkah saya dktor? ssungguhnya stiap apa ygg sy tulis ini smuanya benar2 blaka... bantulah sy doktr.. sy bingung... patutkah sy mlepaskan seorg lelaki yg benar2 baik dan darpd kturunanya yg baik? bntulah sy insan yg lemah lagi hina ini dktor....


2 . alhamdulillah berkat hidayah dari Allah S.WT sy telah berubah menjadi seorg wanita yg mntup aurat.. dktor bantulah sy... bagaimanakah cara untuk mgelak drpd gangguan nafsu syaitan? maksud saya, saya sering bercakap kasar dgn ibu saya... slepas sy berckp ksar sy sedar... sy cuba mngelak drpd berlaku sperti ini.. namun knpa terlalu sukar doktr? bantulah sy,...


ini sahaja dari sy.. sy harap doktor dpt menghubungi sy jika ada yg doktr ign bincngkan.. trima kasih ya doktr... semoga sntiasa drahmati Allah...

XX ,

insan yang lemah..

*****


Wa’alaikum salam Wbt saudari XX,


Rasa untuk dikasihi dan mengasihi adalah fitrah semulajadi yang diciptakan oleh Allah kepada setiap hambanya. Akan tetapi, sering terjadi di mana fitrah ini menjadi fitnah yang membawa kepada kerosakan.


Hakikatnya, ramai cendiakawan islam berbeza pendapat tentang hukum couple ataupun bercinta sebelum berkahwin. Bagi mereka yang lebih terbuka, couple itu tidak salah asalkan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak seperti mana yang saudari jelaskan iaitu tidak berdua-duaan, keluar dengan ditemani mahram, mengelakkan diri dari berbicara tentang perkara-perkara yang membangkitkan nafsu dan mengelakkan diri dari sentiasa berbual-bual dengan nada suara yang manja.


Walaubgaimanapun, untuk mereka yang syadid atau keras pendapatnya, couple adalah haram.


Mereka menjatuhkan hukum haram kerana perbuatan couple itu boleh membawa kepada zina. Di Dalam Al Quran ada menyebut bahawa;


Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. [Q17:32]


Quran tidak menyatakan supaya JANGAN BERZINA tetapi sebaliknya JANGAN MENDEKATI ZINA kerana mahu menutup terus ruang kepada zina.


Ini kerana apabila bercouple, akan ada masanya syaitan mencucuk jarum untuk melakukan maksiat. Tambahan pula, ketika usia remaja, naluri untuk melakukan seks adalah sangat kuat kerana ini adalah fasa di mana setiap insan itu cuba untuk menerokai alam seksual mereka.


Sekiranya kita perhatikan nenek moyang kita, maka kita akan dapati bahawa mereka telah berkahwin seawal umur 12 tahun. ini kerana pada usia itu, seseorang sudah pun bersedia daripada fizikal dan emosi untuk berkahwin.


Akan tetapi, pada masa kini pandangan orang tua adalah berbeza kerana mereka berpendapat bahawa dengan berkahwin awal, ruang untuk belajar akan tertutup dan masa depan akan menjadi gelap


Malah, kajian sains juga membuktikan bahawa mengandung pada usia yang muda mempunyai banyak risiko seperti kelahiran bayi tidak cukup bulan, serangan darah tinggi dan sawan sewaktu mengandung, masalah kekurangan darah yang teruk, kadar keguguran yang tinggi dan juga bayi tidak cukup berat badan.


Namun, ia bukanlah satu alasan besar andai saudari berfikir untuk berkahwin awal kerana islam ada menyediakan caranya. Contohnya adalah melalui nikah khitbah. Ramai dalam kalangan orang tua kita menolak kaedah ini atas pelbagai alasan namun bagi saya, ia sesuatu yang boleh dipertimbangkan memandangkan risiko melakukan zina sangat tinggi dalam kalangan remaja pada hari ini.


Seperti yang saudari nyatakan di atas, apabila bercinta masing-masing menjadi lebih bersemangat untuk belajar. Saya tidak menafikan perkara ini. Sememangnya pada peringkat awal perhubungan, inilah yang berlaku pada setiap pasangan kekasih baru. Namun demikian, perlu diingat juga bahawa apabila timbulnya pergaduhan maka prestasi pelajaran boleh menjunam dengan teruknya.


Stress dalam perhubungan boleh membawa kepada pelbagai masalah seperti kemurungan ataupun cubaan untuk membunuh diri.


Ia boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti perbezaan hala tuju dan matlamat dalam kerjaya, masalah keluarga, cemburu dan sebagainya.


Oleh itu, tanya diri saudari apa yang ingin anda capai dalam perhubungan ini. Sejauh mana percintaan ini mampu untuk membawa saudari mencapai cita-cita saudari.


Sekiranya saudari mampu untuk mengekalkan hubungan ini mengikut lunas-lunas agama, maka dipersilakan untuk meneruskannya.


Akan tetapi suka juga saya mengingatkan bahawa bercinta terlalu lama sebelum melangsungkan perkahwinan boleh membawa kepada kebosanan apatah lagi setiap dari kita TERHALANG OLEH SYARAK dari melakukan perkara yang boleh mengharmonikan perhubungan seperti bercumbuan dan mengucapkan kata-kata cinta. Jalan keluarnya adalah seperti yang saya nyatakan di awal-awal penulisan saya yakni nikah khitbah.


Andai merasa diri tidak sehaluan dan tidak boleh hidup bersama, ada tata tertibnya dalam memutuskan sesuatu perhubungan. Perpisahan itu satu perkara yang memeritkan dan juga boleh membawa kepada pelbagai masalah yang serius. Oleh itu, saya berpendapat bahawa elakkan dari memutuskan terus perhubungan hanya kerana menerima bulat-bulat pendapat bahawa couple itu haram. Ambillah langkah secara perlahan dan berhemah. Yang terbaik adalah untuk terus berkawan dan membuat perjanjian dengan pasangan bahawa anda memilih untuk menjadi rakan buat masa ini. Beri galakan pada diri masing-masing untuk tidak terlalu mengharapkan perhubungan ini MESTI diakhiri dengan perkahwinan. Anggaplah ia sebagai tempoh untuk mengenal diri masing-masing.


Berkenaan dengan soal kedua, ia bergantung kepada diri sendiri dan juga didikan dari keluarga. Andai kita seorang yang kasar, maka tidak hairan kita boleh berkasar dengan keluarga kerana kita telah dididik sejak dari kecil.


Ilmu sains menyatakan setiap kelakuan yang dipelajari boleh diundur atau dibuang. Oleh itu, sentiasa yakinkan diri bahawa anda ingin berubah. Sebelum tidur, cuba saudari amalkan teknik visualisation tentang apakah peribadi yang ingin saudari bina. Ambil masa untuk bertafakkur dan bayangkan karakter positif yang ingin saudari bangunkan. Selepas itu, amalkan kelakuan positif tersebut secara perlahan-lahan sehingga ia berjaya dicapai.


Semoga penulisan ini dapat membantu saudari.

Wallahu’allam

Dr Muhamad Na’im B. Ab Razak (MD USM)

www.jacknaim.blogspot.com


Ditanya melalui inbox ILuvIslam.Com. sekiranya terdapat pertanyaan bolehlah dihantar ke alamat ini [link]

1 comment: